KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya pesakit psikiatri kekal dipenjara sembilan tahun dan enam sebatan kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya dua tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman itu terhadap perayu selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat berpuas hati rayuannya tidak bermerit selepas berpendapat pengakuan salahnya dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau turut berpendapat, permohonan semakan lelaki itu gagal menunjukkan keperluan mahkamah untuk menggunakan kuasa budi bicaranya menyemak keputusan Mahkamah Sesyen.
Lelaki itu dihukum penjara sembilan tahun dan empat sebatan bagi kesalahan merogol serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi tuduhan amang seksual fizikal serta perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun.
Perayu didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Skudai serta dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 5 Julai 2022.
Ringkasan fakta kes, pada 23 Julai 2022, mangsa menghubungi ibunya yang bekerja di Singapura dan mengadu dirogol oleh bapa saudara beberapa kali.
Remaja itu turut menceritakan kejadian itu kepada isteri perayu yang juga ibu saudara namun tidak dipercayai sebaliknya dihantar ke rumah nenek tirinya.
Dalam petisyen rayuannya, lelaki itu menyatakan tidak memahami pertuduhan serta sifat dan akibat pengakuan salahnya selain `disuruh’ mengaku oleh pegawai penyiasat serta polis pengiring.
Lelaki itu turut mendakwa sebagai pesakit psikitari dan tertekan dari segi emosi kerana tidak mengambil ubat untuk menstabilkan fikirannya.
Mahkamah bagaimanapun berpendapat, perayu memahami prosiding mahkamah yang menggunakan bahasa Melayu serta mampu berkomunikasi dengan baik. – KOSMO! ONLINE