TANGGUNGJAWAB lebih besar dipikul perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang bermula esok tidak dianggap sebagai masalah besar buat bekas juara remaja Asia tersebut.
Ini kerana, dia sudah bersedia sepenuhnya terutama dari segi psikologi apabila mengisi slot perseorangan kedua ditinggalkan Ng Tze Yong selepas namanya digugurkan kerana belum cergas sepenuhnya.
Kini, Jun Hao bakal menggalas misi cukup besar apabila dijangka turun sebagai perseorangan kedua Malaysia menentang pemain No. 27 dunia, Ng Ka Long pada aksi sulung Kumpulan D bertemu Hong Kong esok.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, anak buahnya itu sudah melakukan persiapan rapi sepanjang menjalani kem latihan pusat sejak minggu lalu sebaik sahaja dikhabarkan mengenai pengguguran Tze Yong.
“Setakat ini, dia menunjukkan progres yang cukup bagus. Pada awalnya dia memikul tugas selaku perseorangan ketiga, namun sekarang tanggungjawabnya adalah sebagai perseorangan kedua dan mungkin pertama.
“Dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi psikologi. Kita tidak tahu dia akan jumpa siapa, mungkin Ka Long (menentang Hong Kong) dan mereka tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
“Semua orang sudah tentu jangka Ka Long untuk menang, jadi bagi saya Jun Hao tidak akan berdepan tekanan. Dia akan turun dan buktikan dia mampu melakukannya kerana peluang adalah 50-50,” katanya.
Aksi sulung bertemu Hong Kong dianggap cukup penting buat Malaysia bagi mencerahkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati sebelum bertemu Algeria keesokan harinya serta juara edisi 2016, Denmark pada 30 April nanti.
Sementara itu, Seu Bock menegaskan, pemain negara sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan cabaran biarpun terpaksa memulakan kejohanan dwitahunan tersebut dengan aksi sukar berdepan Hong Kong.
“Kita sudah tetapkan fikiran masing-masing biarpun sesukar mana perlawanan itu nanti. Undian sudah dibuat, jadi tidak ada pilihan selain berdepan cabaran tersebut kerana negara lain juga berada dalam situasi seperti kita,” ujarnya.