PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dipilih oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) untuk mempelopori projek Agrikultur 4.0.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyIPO telah memperkasa keberadaan di peringkat antarabangsa untuk merealisasikan aplikasi harta intelek dengan industri baharu sebagai menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0. Malaysia.
“MyIPO telah dipilih oleh WIPO sebagai salah satu negara di Asia Tenggara (ASEAN) untuk mempelopori projek Agrikultur 4.0 dalam meningkatkan pengetahuan, kepakaran serta penggunaan kecerdasan buatan (Ai) dalam sektor pertanian.
“Kini, pihak MyIPO dalam proses penelitian syarikat-syarikat yang disenarai pendek oleh WIPO untuk terlibat dalam projek ini,” katanya ketika berucap di Majlis Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena Hari Intelek Negara (HHIN) di Menara MyIPO PJ Sentral, di sini, hari ini.
Majlis yang bertemakan ‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani’ hari ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang rakyat Malaysia dalam penghasilan harta intelek yang memberi manfaat kepada orang ramai dan negara secara keseluruhannya.
Sebanyak 260 penyertaan direkodkan dalam pertandingan yang dibuka kepada individu, syarikat swasta dan badan kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat multinasional.
Terdapat lima pembahagian anugerah iaitu Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek merupakan anugerah tertinggi yang menawarkan hadiah berjumlah RM30,000; Anugerah Teknologi Hijau; Anugerah Karya Lestari; Anugerah Millennial dan Anugerah Permata.
Sementara itu, Armizan berkata, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di Asia yang diberi mandat untuk menjayakan projek Empowering Youth (K-12) to Innovate for a Better Future’.
“Bagi meningkatkan kapasiti usahawan tempatan, Malaysia turut terpilih dalam projek IP Management Clinic Program (IPMC) fasa pertama.
“Pelaksanaan klinik ini akan dianjurkan di dua lokasi strategik iaitu Kuala Lumpur yang melibatkan 40 usahawan manakala 20 usahawan di Kota Kinabalu,” ujarnya.
Selain itu, MyIPO turut menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan.
Ia bermula dari 24 April hingga 23 Mei ini bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran selain memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melindungi hak harta intelek. – KOSMO! ONLINE.