PETALING JAYA – Selepas melalui bermacam-macam episod, pelakon Ruhainies akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella Astillah atas kemelut yang berlaku.
Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Fareha Zainul Ilyas, 32, juga meluahkan hasrat ingin bersemuka dengan isteri kepada Aliff Aziz itu bagi menyelesaikan kekecohan yang terjadi sejak 9 Mac lalu.
“Saya memilih berdiam diri bukan mahu mengiyakan atau menidakkan tetapi dengan niat untuk mengelakkan pergaduhan dalam media sosial dan memanjangkan perkara ini.
“Dengan rendah hati saya seikhlasnya memohon maaf kepada Bella Astillah atas segala-gala yang berlaku.
“Saya berhasrat mahu berjumpa awak untuk bersihkan segalanya. Jadi, kita dapat tutup buku dan bergerak ke hadapan serta gembira kembali,” katanya menerusi hantaran Instagram Story, pagi tadi.
Dalam masa sama, pelakon drama Hello, Mr. Perfect! itu turut berharap pertemuan empat mata bersama Bella dapat disertai Sarah Yasmine bagi melancarkan lagi proses menyelesaikan masalah.
“Saya juga seikhlasnya memohon maaf kepada semua yang terkait dan terkesan dengan isu membabitkan saya sepanjang tempoh ini.
“Saya juga secara ikhlas ingin memanjangkan jemputan kepada Sarah Yasmine untuk menyertai kami, jadi kita dapat ‘bersihkan’ dan selesaikan semuanya.
“Saya sangat berharap Bella Astillah dan Sarah Yasmine akan benarkan saya mengambil peluang berjumpa dengan mereka,” ujarnya lagi.
Sedar akan kekhilafan, Ruhainies tidak henti-henti meluahkan permohonan maaf kepada semua yang turut terkesan.
“Sejujurnya, dengan setinggi-tinggi kemaafan, saya mohon maaf sekali lagi atas segala yang telah berlaku,” tambah Ruhainies.
Isnin lalu, nama Sarah menjadi sebutan ramai selepas dia mengaku sebagai kekasih gelap kepada penyanyi Aliff Aziz.
Dia membuat pengakuan terbuka menerusi Instagramnya selepas kerana tidak tahan melihat Aliff dikecam susulan kes tangkap khalwat dengan Ruhainies.
Selain mengaku sebagai kekasih, wanita asal Singapura itu juga berkongsi beberapa paparan skrin perbualan romantis antara ‘NRF’ yang dipercayai Ruhainies dengan Aliff. – KOSMO! ONLINE