KAPTEN skuad badminton wanita negara, Teoh Mei Xing memberi peringatan kepada rakan sepasukan supaya tidak gentar menjelang saingan Piala Uber 2024 di Chengdu, China yang membuka gelanggang esok.
Walaupun pasukan kali ini rata-rata dibarisi pemain muda, namun Mei Xing menegaskan, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang buat Malaysia untuk bersemuka dengan pasukan yang memiliki reputasi lebih tinggi.
Pemain berusia 27 tahun itu menggesa rakan sepasukan supaya memanfaatkan setiap peluang beraksi pada saingan yang dianggap sebagai piala dunia badminton tersebut.
“Saya harap mereka hargai peluang bermain pada Piala Uber kerana ini bukan satu kejohanan kecil. Semua orang tahu pemain-pemain utama dunia turut beraksi dalam kejohanan ini.
“Justeru, semua pemain perlu berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan nanti, jangan sesekali berasa gentar dan berikan yang terbaik apabila masuk ke gelanggang,” katanya.
Dalam pada itu, Mei Xing yang dijangka membentuk gandingan bersama Go Pei Kee menjelaskan, dia sedia untuk membakar semangat pemain-pemain, sama seperti yang dilakukan ketika menyanyikan lagu Semangat Berpasukan semasa menjalani latihan.
“Kami menyanyikan lagu itu setiap hari dan ia membantu meningkatkan semangat berpasukan. Pada awalnya, rakan sepasukan agak malu untuk menyanyikan lagu itu, namun sebagai kapten, saya menunjukkan contoh apabila menyanyi dengan kuat dan jelas.
“Saya tegaskan kepada mereka, jika tidak berani untuk menyanyi, bagaimana mereka boleh bermain tanpa rasa gentar di dalam gelanggang nanti,” ujarnya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang Taiwan pada Ahad ini sebelum berdepan Thailand keesokan harinya dan Australia, 1 Mei nanti.