KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi fokus utama terhadap agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara dari jenayah rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, isu-isu tatakelola itu meliputi pelbagai perkara, bukan sahaja integriti atau hal berkaitan penyelewangan serta rasuah malah ia meliputi kelemahan tatakelola dalam pentadbiran seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam hal ini, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Intergriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini.
“BPGN berperanan untuk menasihati Kerajaan dan melaporkan perkembangan NACS kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula 2024 hingga 2028,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Media SPRM 2023 di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai enam pemenang diraikan bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak dan Portal Berita serta Anugerah Media Elektronik.
Wartawan Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman dinobatkan selaku pemenang tempat ketiga kategori Media Cetak dan Portal Berita menerusi laporan bertajuk “RM 87.9J Dana Penjana Kerjaya Diseleweng” dengan membawa pulanh hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 berserta trofi.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar; Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil dan Timbalan Pengarang Kosmo!/ Kosmo! Ahad, Jamdi Nasir.
Anugerah Media SPRM 2023merupakan penganjuran kali keempat sejak ia diperkenalkan pada tahun 2020 bertujuan mengiktiraf karya-karya pengamal media. – KOSMO! ONLINE