AMPANG JAYA – Tindakan seorang lelaki menggunakan nombor plat palsu bagi mengelak motosikal ‘ditarik’ pihak bank mengundang padah apabila ditahan berdekatan tol Bukit Permai, Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pemuda berusia 21 tahun itu ditahan ketika operasi sekatan jalan raya pada pukul 7 pagi.
Katanya, tindakan suspek terbongkar selepas pemeriksaan dibuat ke atas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya.
“Penunggang itu mempunyai lesen memandu yang sah, namun semakan pada nombor plat belakang mendapati ia didaftarkan atas kenderaan lain.
“Individu itu menukar nombor plat bagi mengelak ditarik pihak bank kerana gagal menjelaskan bayaran ansuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azam, penunggang motosikal itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan dia boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Tegas beliau, tindakan menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran milik orang lain atau palsu merupakan dalah satu kesalahan. –KOSMO! ONLINE.