fbpx

Isteri boleh tuntut fasakh jika suami cemburu buta, suka hina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang isteri berhak memohon fasakh sekiranya berdepan dengan tekanan emosi disebabkan sikap suami yang baran, gemar mengeluarkan kata-kata kesat serta cemburu buta sehingga menjejaskan kehidupan rumah tangga.

Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkata, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 53(1)(h)(i) iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan menderita disebabkan kelakuan aniaya.

“Seksyen ini tidaklah khusus kepada penderaan fizikal sahaja bahkan, penderaan mental juga adalah salah satu bentuk penganiayaan terhadap seseorang.

“Maka, tak ada sebab seseorang suami itu berhak untuk menyakiti akal fikiran isterinya. Jika ada permasalahan, seharusnya berbincang, bukan mendera mental pasangan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, baru-baru ini.

Menurut Fahmi, ramai kaum isteri berdepan dengan masalah penderaan mental yang dikatakan lebih sakit berbanding kecederaan fizikal.

“Mental torture atau penderaan mental adalah perbuatan yang melibatkan perasaan dan akal manusia. Kalau perbuatan berbentuk fizikal seperti tumbuk, tampar, tendang, ia mungkin dapat dilihat kesan pada tubuh badan mangsa.

“Namun, ia tidak dapat dilihat secara luaran bagi tekanan mental. Tetapi, sakitnya itu lebih perit ke atas akal fikir dan perasaan manusia. Sebab itu, ada orang sanggup bunuh diri jika dia benar-benar tertekan perasaan.

“Biasanya ia berbentuk penderaan lisan seperti menggunakan kata-kata kesat untuk kritik pasangan, memalukan dan mungkin menyalahkan pasangan atas semua perkara,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi menyarankan agar mana-mana individu yang terkesan dengan tekanan emosi ini segera mendapatkan pertolongan pakar.

“Jangan takut untuk berjumpa dengan kaunselor. Sesetengah isteri bimbang untuk berjumpa dengan kaunselor kerana takut dikatakan ‘gila’ atau ‘mental tak stabil’ hingga boleh kehilangan hak jagaan anak. Di Pejabat Agama Islam Daerah juga mempunyai kaunselor rumah tangga.

“Boleh juga jumpa dengan pakar psikatri di hospital. Kepakaran dalam pengurusan psikatri ini penting untuk bantu seseorang yang mengalami stres kerana ia adalah pembunuh senyap bagi tubuh badan manusia. Laporan psikatri adalah sangat membantu dalam kes fasakh di mahkamah.

“Jangan malu dan segan untuk kongsikan masalah anda dengan seseorang yang anda sangat percaya. Masalah dalam diri ini jangan dipendam. Kalau dipendam, ia akan lebih menyakitkan diri,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI