MENGANGKAT kisah realiti ke layar perak adalah sesuatu yang lazim dalam industri seni tempatan.
Berbeza kali ini, kisah perjalanan Soloz sebagai seorang pemain profesional dalam arena permainan video mudah alih, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) menjadi inspirasi untuk filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. berjudul Game Of Life.
Dijadualkan menjalani penggambaran pada pertengahan Jun ini di sekitar Lembah Klang, pengarahnya, Syafiq Yusof mengakui naskhah tersebut memberi cabaran tersendiri buat dirinya.
Justeru, Syafiq berbincang dengan syarikat penerbitan MLBB iaitu MOONTON Games supaya memberikan gambaran jelas bagi membolehkannya menyampaikan intipati cerita dengan sempurna.
“Kalau ikut konsep memang sangat berbeza. Selalunya saya buat filem kepolisan, aksi, komedi dan seram tetapi kali ini konsep paling unik dan saya tidak pernah buat filem mengenai ‘mobile gaming’.
“Sebagai pengarah, saya rasa ini cabaran baharu, tapi sangat teruja mahu merealisasikannya apatah lagi perancangan untuk menjayakan projek ini sudah dibuat tahun lalu dan skrip pula kini 90 peratus siap.
“Dari segi teknikal atau ‘gaming’ itu memang kami berbincang dengan Moontoon untuk pastikan filem ini mengikut garis panduan permainan video itu dengan betul,” katanya.
Meskipun diinspirasi daripada kisah perjalanan Soloz menjadi pemain profesional, Syafiq memaklumkan, filem itu bergenre fiksyen kerana kewujudan watak sampingan yang tiada dalam kehidupan realiti.
“Watak utama memang diinspirasikan daripada Soloz yang bakal dimainkan Hun Haqeem.
“Kebanyakannya adalah fiksyen kerana watak Ikmal Amry sebagai seorang antogonis. Dalam kehidupan realiti, karakter itu tidak wujud pun,” ujarnya lagi.
Sementara itu, meski bukan seorang pemain permainan video mudah alih, Hun Haqeem menyahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai Soloz.
Hun ‘terpaksa’ main game
Hun tetap tidak putus asa untuk memainkan peranan tersebut dan sudah membuat persiapan rapi terutamanya dalam mempelajari permainan MLBB.
“Ada inisiatif untuk bermain permainan ML. Hari-hari saya main termasuk di dalam set penggambaran.
“Alhamdulillah, kawan-kawan pun membantu lebih-lebih lagi Ikmal Amry yang sememangnya sangat kuat bermain permainan video.
“Kalau ada masa terluang pasti dia akan ajak saya bermain. Inilah cara saya untuk siapkan diri sebagai Soloz kelak,” tuturnya.
Game of Life memaparkan persaingan sengit antara The Boss dengan pasukan dari Singapura, Vengeance yang mengajar Soloz dan rakan sepasukan mengenai nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi asas kejayaan.
Turut bekerjasama dalam penghasilan filem berkenaan adalah Frame Motion Studio untuk kesan khas, manakala Skop Productions bertindak sebagai sebagai pengedar rasmi.
Filem bertemakan e-sukan pertama di Malaysia itu bakal menampilkan pelakon hebat seperti Hun Haqeem yang membawa watak Soloz dengan dibantu barisan pelakon lain seperti Ikmal, Jaa Suzuran, Jiha Sham dan Hafeez Mikail.