LIVERPOOL – Hanya permohonan maaf yang mampu diminta pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park awal pagi semalam.
Keputusan itu adalah kekalahan pertama Klopp dalam pertembungan derbi Merseyside di Goodison Park memandangkan The Reds tidak pernah kalah di gelanggang lawan tersebut sejak 17 Oktober 2010.
Paling terkesan apabila keputusan itu seakan mampu menjejaskan peluang Liverpool untuk bergelar juara musim ini dan kini hanya mengharapkan krisis berlaku dalam kem Arsenal serta Manchester City.
“Kamu boleh lihat yang kami begitu tergesa-gesa setiap kali berada di depan gawang. Saya merasai apa yang orang rasakan kerana kami tidak pernah tewas di sini dan perasaan sekarang jelas berbeza.
“Saya benar-benar minta maaf. Sekarang kami perlu harapkan krisis berlaku di Manchester City dan Arsenal, selebihnya kami juga perlu memenangi perlawanan.
“Ketika ini juga kami belum selamat untuk layak ke Liga Juara-Juara dan sekarang hanya perlu bermain dengan lebih baik,” katanya.
Sepanjang perlawanan, Everton jelas menjadi pasukan yang lebih berhak untuk menang dan memperoleh jaringan menerusi Jarrad Branthwaite serta Dominic Calvert-Lewin.
Sementara itu, tonggak pertahanan The Reds, Virgil van Dijk mahu semua pemain berdiri di depan cermin untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku.
“Kami agak kecewa dalam banyak hal dan semua orang perlu melihat cermin dan tengok semula prestasi sendiri. Kami perlu tanya diri sendiri adakah kami sudah berikan segala-galanya untuk memenangi liga?
“Kami masih berjuang, namun saya fikir jika kami bermain seperti ini, kami tidak akan memenangi persaingan ini,” katanya. – AGENSI