KLANG – Dendam dipercayai menjadi motif seorang peniaga dibunuh empat individu bersenjatakan parang dan pistol ‘taser’ (pistol perenjat elektrik) dalam kejadian di Taman Jaya, Kapar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, setakat ini pihaknya merekodkan keterangan isteri dan anak lelaki mangsa berusia 38 tahun yang berada di lokasi ketika kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut bermotifkan dendam. Namun, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita petang ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan meniarap di hadapan bilik tidur sebuah rumah di Kapar.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, empat lelaki memasuki rumah itu dengan bersenjatakan parang dan pistol taser. Seorang lagi suspek berada dalam kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah.
Ekoran kejadian itu mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan pada beberapa anggota badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE