TELUK INTAN – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu tirinya yang berusia 11 tahun, Disember lalu.
Tertuduh yang berusia 63 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekas pemandu teksi itu didakwa telah menyentuh payudara mangsa dan memeluknya dari belakang bagi maksud seksual di sebuah rumah rakit di Teluk Intan pada pukul 8 pagi, 24 Disember 2023.
Pertuduhan terhadap tertuduh itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 akta sama, manakala jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.
Terdahulu, Rishan Kumar mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Jude memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya itu tidak lagi bekerja sebagai pemandu teksi dan perbelanjaan keluarga menggunakan wang pencen isterinya.
Katanya, tertuduh juga menghidap penyakit pelbagai termasuk kencing manis dan gout, malah isterinya juga menghidap kanser dan perlu menjalani rawatan di hospital.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. – KOSMO! ONLINE