fbpx

Anwar pulang elaun Khazanah, kekal pendirian tidak ambil gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada Majlis Sumbangan MIED di Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mahu mengambil elaun ditawarkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berikutan kekal pendirian untuk tidak mengambil gaji sebagai ketua kerajaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga terpaksa memulangkan elaun yang dikreditkan ke dalam akaunnya selepas beberapa bulan mempengerusikan mesyuarat Khazanah.

“Tadi saya pengerusikan mesyuarat Khazanah, rupanya Pengerusi Khazanah, Perdana Menteri selama ini, ada elaun. Saya tidak tahu, selepas beberapa bulan, masuk dalam bank (elaun mesyuarat).

“Saya terpaksa pulang balik elaun Khazanah dan beritahu mesyuarat bahawa jangan bayar elaun kerana sebagai Perdana Menteri, saya mengatakan bahawa tidak akan ambil gaji selagi ekonomi kita tidak terangkat dan nasib rakyat miskin terbela,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) di sini petang tadi.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam usaha menghapuskan miskin tegar, beliau juga tidak akan mendiskriminasi berdasarkan warna kulit di mana mereka berada kategori itu perlu dibantu sebaiknya.

“Saya sudah cakap (menghapuskan miskin tegar) dan ia menjadi sasaran kita sejak tahun lalu untuk hapuskannya.

“Sudah tentu berdasarkan angka, Melayu adalah adalah majoriti, tetapi berdasarkan ratio populasi, masyarakat India adalah antara yang paling miskin,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, kaum Melayu, India dan Cina di Kuala Lumpur juga dilaporkan sudah keluar daripada kategori miskin tegar.

“Sekarang kita capai untuk Kuala Lumpur Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor dan sedang usaha untuk negeri-negeri lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI