KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal nekad memutuskan hubungan dengan anaknya disebabkan tabiat lelaki itu yang kerap berhutang dengan ceti haram untuk berjudi sejak tiga tahun lalu.
Lim Sook Fun, 64, berkata, dia sudah menghabiskan wang simpanan persaraan berjumlah RM70,000 bagi melunaskan hutang yang dibuat anaknya.
Namun lelaki berusia 40 tahun itu dikatakan masih lagi meminjam sebanyak RM11,000, daripada along baru-baru ini.
Meskipun tahu ibunya diugut oleh ceti haram, perunding hartanah itu tetap menyuruh ibunya meminjam wang daripada kenalan lain untuk menyelesaikan hutang.
“Sebanyak RM30,000 saya selesaikan (hutang) pada tahun 2022. Selepas itu (pembayaran) RM40,000 pada tahun 2023. Banyak kali saya beri peluang tetapi kali ini sudah melampau. Sekarang along kata ada hutang lagi RM11,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.
Menceritakan tentang gangguan yang dilaluinya, Sook Fun berkata, beberapa notis memaparkan gambar anaknya dicampak ke dalam pagar rumahnya selain cat merah pada 28 Mac lalu.
Jelasnya, beberapa individu juga menghubunginya dengam membuat beberapa ugutan, namun dia tidak mengendahkan ancaman tersebut.
“Sebaik laporan polis dibuat, saya dihubungi seorang individu yang menawarkan diskaun bagi pinjaman yang dibuat.
“Beberapa hari kemudian, ada lagi cat dilemparkan dan mengenai lapan rumah jiran. Yang bersalah anak saya, bukan kami,” katanya.
Tambah pesara swasta itu, sejak beberapa bulan lalu dia sukar untuk tidur disebabkan tindakan anak sulungnya itu.
“Selama ini saya bagi peluang untuk berubah tapi dia tetap tidak mengendahkan. Saya sudah tiada duit untuk membayar hutang, sampai hati dia buat begini disebabkan judi.
“Untuk along, tolong jangan ganggu lagi. Saya sudah tua, minta kepada orang yang pinjam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati orang ramai agar tidak menggunakan jalan pintas sekiranya terdesak wang.
“Along ingat kalau ugut baling cat merah kita akan takut. Laporan polis telah dibuat dan kita harap siasatan berjalan secara telus dan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.