YAN – Tangisan anak bongsu Bintara Muda Noor Rahiza Anuar sambil menyebut mama pada majlis pengebumian arwah meruntun perasaan orang ramai yang berada di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini malam tadi.
Nur Qistina Afia Mohd Azinor, 6, yang tidak dapat menahan kesedihan ditenangkan adik beradik dan ahli keluarga lain.
Anak bongsu daripada empat beradik itu juga dilihat menadah tangan dan membaca beberapa surah ringkas termasuk surah al-Fatihah untuk arwah ibunya itu.
Sebaik mendengar bacaan Nur Qistina, orang ramai terdiam seketika sebelum bersama-sama mengaminkannya.
Nur Qistina ditemani dua kakak kembarnya, Nur Qistina Auni dan Nur Qistina Awliya, 16, serta abangnya, Muhammad Qisti Afif, 15.
Turut mengiringi jenazah ialah suami arwah, Mohd Azrinor Azizan dan bapa arwah, Anuar Hassan, 73.
Jenazah Noor Rahiza Anuar, 39, selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.55 malam tadi. – KOSMO! ONLINE