fbpx

Usah letak harapan terlalu tinggi – Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA yang akan turun sebagai perseorangan utama negara berharap rakan sepasukan menjadikan pengalaman di Bangkok pada 2022 sebagai pengajaran berguna.

SEPANG – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memberi peringatan kepada rakan sepasukan supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menjelang saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang bermula Sabtu ini.

Bekas juara All England itu berkata, jika dipandang dari sudut realistik, Malaysia tidak berdepan tugas mudah bagi menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir menjulang trofi teragung itu pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Dia turut menjelaskan, skuad yang dibawa pada kali ini bukanlah pasukan terkuat Malaysia memandangkan perseorangan No.2 negara, Ng Tze Yong terpaksa digugurkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan belakang.

“Pasukan kali ini bukanlah yang terkuat kerana Tze Yong tidak ada. Ya, kita ada Leong Jun Hao yang mempamerkan prestasi bagus sejak kebelakangan ini tetapi kita pun tidak ada pilihan.

“Hampir setiap edisi Piala Thomas pun kita dalam posisi di mana orang tidak letak harapan yang banyak. Jadi, saya fikir adalah lebih baik kita fokus untuk berikan yang terbaik kerana kalau letak harapan tinggi dibimbangi memberi tekanan,” katanya.

Pemain No.10 dunia itu juga mahu pemain-pemain negara menjadikan aksi pada saingan 2022 di Bangkok, Thailand sebagai pengajaran berguna apabila dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada India di suku akhir biarpun berjaya menewaskan Jepun di peringkat kumpulan.

“Kita ada satu pengajaran berguna semasa di Thailand memandangkan ketika itu kita sangat yakin selepas menang ke atas Jepun. Bagaimanapun, kita tidak jangka boleh kalah kepada India secara tiba-tiba.

“Waktu itu semua pemain terkejut dengan kekalahan tersebut. Bagi saya lebih baik setiap pemain buat seperti biasa dan tidak letak harapan yang terlalu tinggi. Kita harus sedar kalau tengok barisan pemain, kita bukan yang terkuat,” tambahnya.

Selain Zii Jia, turut disenaraikan bagi menggalas cabaran dalam acara perseorangan adalah Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu mempertaruhkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan D pada saingan kali ini bersama Hong Kong, Algeria serta wakil Eropah yang juga pemenang edisi 2016, Denmark. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI