fbpx

UM mohon maaf jemput profesor pro Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Universiti Malaya (UM) sedang menyediakan laporan lengkap berhubung program dan aktiviti yang dijadual dihadiri profesor yang dipercayai pro-Israel, Bruce Gilley sebagai penceramah jemputan ke universiti berkenaan.

UM dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini.

Ujarnya, setakat ini UM telah mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

“UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial. UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat.

“Terutamanya melibatkan semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,” katanya.

Terdahulu, tindakan UM menjemput Bruce Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengarahkan UM untuk membatalkan program tersebut dan meminta pihak universiti menyiasat perkara ini serta melaporkan segera butiran lanjut.

Tambah UM, pihaknya turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

Katanya, ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

“Pihak UM akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI