fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Mommy, mommy pergi mana?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allesia Felice Haslie (sebelah kiri) bersama-sama bapanya ketika upacara pengebumian mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, Serian pagi tadi.

SERIAN – Gelagat Allesia Felice Haslie ketika upacara pengebumian ibunya Laskar Kanan Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, di sini membuatkan orang ramai sebak.

Ia apabila anak sulung mendiang itu yang masih berusia empat tahun berulang kali memanggil ‘mommy’ sambil berjalan berdekatan keranda ketika upacara doa sebelum pengebumian.

Malah ketika keranda ibunya diusung oleh sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kanak-kanak itu kedengaran bertanyakan ‘mommy ira gapih’ (mama hendak pergi mana) sehingga membuatkan orang ramai yang hadir termasuk Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem menitiskan air mata.

Allesia turut berulang kali melambai ke arah keranda ketika anggota TLDM memasukkannya ke dalam van jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh.

Selain Allesia, mendiang Joanna meninggalkan seorang lagi anak, Hovannes Haslie yang berusia setahun dan suaminya, Bintara Muda TMK Haslie Ali, 33.

Sementara, urusan pengebumian mendiang selesai kira-kira pukul 11.33 pagi tadi dengan turut dibantu seramai 17 Pegawai dan 61 anggota lain-lain pangkat beserta 11 kenderaan tentera dan peralatan tentera.

Penyerahan bendera kepada keluarga mendiang dilaksanakan oleh wakil TLDM iaitu Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseph.

Jasad mendiang Joanna, 25, yang diterbangkan dari Ipoh dengan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Udara Kuching pada pukul 11.54 malam tadi.

Sejurus tiba, jasad mendiang yang berasal dari Kampung Sumpas Tampek, Serian dibawa ke rumah keluarga suaminya di Kampung Engkaroh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI