fbpx

Sheriff ada ‘telur’, tak macam filem Melayu lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penulis punya banyak perkara untuk dibentang tentang Sheriff arahan Syafiq Yusof dengan sedikit atau helaian muka surat terhad dalam ulasan filem minggu ini.

Setakat tulisan ini diusaikan iaitu empat hari tayangan, Sheriff telah berjaya mengutip 16.3 juta kutipan di panggung.

Tidak mustahil andai pola ini konsisten akan menggugat kestabilan rekod filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof yang memegang rekod filem paling laris tempatan (RM97 juta).

Watak utama bernama Sheriff dijayakan dengan penuh ‘bersahaja’ namun menampilkan sisi berbeza pelakon hebat, Zul Ariffin. – ASTRO SHAW

Menyentuh tentang kualiti filem bertemakan aksi thriller tersebut, penulis secara peribadi agak skeptikal pada permulaan karya dinaratifkan.

Spoiler alert, buat mereka yang sudah menonton, mengapa perlu dibocorkan karakter antihero seawal minit awal penceritaan? Belum masuk act 1, sudah tahu siapa itu Meth Killer.

Kendatipun, filem sebenarnya diolah untuk plot twist yang lebih meluas. Sedikit mudah dijangka, namun bukan hanya Meth Killer yang menjadi dalang segala kebobrokan dalam dunia kepolisan.

Ada ‘tikus-tikus’ lain yang sangup melacurkan profesion yang sangat dipandang tinggi khalayak itu sama ada disebabkan terpaksa kerana bilah pisay diacukan pada leher atau memang sudah lembu dicucuk hidung.

Plot twist

Dari segi plot atau naratif, pujian buat mereka yang terlibat terutama Syafiq Yusof yang semakin hari, semakin menderas maju sebagai seorang pengarah.

Silap hari bulan, boleh ‘makan’ abang sendiri, Syamsul Yusof yang selama ini mendapat julukan ‘tangan emas’.

Buat penulis secara peribadi, apa yang dibentangkan dalam Sheriff boleh dijangka daripada awal walaupun ramai yang terkejut dengan plot twist atau pusingan plot.

Sebagai pencinta dunia sinema, sudah boleh dihidu dari awal siapa Meth Killer dan siapa duri dalam daging dunia kepolisan yang bersekongkol dengan tokan dadah terbesar, Tony Ifrit (Aaron Aziz).

Tiada plot twist yang membingungkan kepala pun sebenarnya kerana semuanya sudah dibocorkan dari masa ke masa filem, namun itu bukan satu kecacatan buat filem. Barangkali pilihan itu untuk terus memancing perhatian audiens.

Keduanya, dari segi terjemahan karakter, kesemua pelakon yang terlibat dalam filem ini faham tugasan masing-masing terutama Syafiq Kyle yang menjayakan karakter Nazri.

 

Dari satu perspektif, dapat rasakan aura ‘joker’ dalam dari karakter Inspektor Nazri; seorang manusia yang menggali keadilan menggunakan cara sendiri.

Karakter Inspektor Nazri dilakonkan pelakon Syafiq Kyle antara yang mendapat pujian menggunung peminat sinema tempatan yang kagum dengan kemenjadian Sheriff yang menbongkar sisi gelap dunia kepolisan.

Walaupun dunia ini ada undang-undang, kebanyakan manusia sewenang-wenangnya menghenyak peraturan sebab korupsi itu memang ada di mana-mana jabatan ataupun dunia pekerjaan.

Syafiq MVP!

Untuk itu, Syabas buat Syafiq Kyle untuk terjemahan karakter Nazri. Kalau nak lagi ‘kick’ sinergi antaranya karakter Nazri dan kakaknya, ASP Sya difokalkan lagi untuk membuatkan audiens lebih ‘meraung’.

Karakter-karakter lain seperti DSP Sheriff (Zul), ASP Jeniffer (Elizabeth) dan villain Tony (Aaron) juga tidak langsung menghampakan.

Cumanya, penulis mengharapkan adegan pertarungan antara Sheriff dan Tony tidaklah bersifat antiklimaks seperti apa dipaparkan. Rasa macam sekejap sangat ‘fight’ mereka.

Azira Shafinaz cemerlang memainkan peranan sebagai ASP Sya dalam filem Sheriff yang kini berada di tangga teratas carta filem di Malaysia. – ASTRO SHAW

Apapun, Sheriff telah meletakkan satu tanda aras baharu untuk dunia perfileman tanah air.

Kalau dulu karya-karya bercorak kepolisan ‘takut-takut’ dan hanya mencanang perkara positif tentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun Sheriff punya ‘telur’ tersendiri.

Tepukan gemuruh buat pasukan Sheriff dan PDRM yang terbuka membongkar apa yang tersirat dalam dunia kepolisan. Syabas!

Pengarah: Syafiq Yusof
Pelakon: Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan
Produksi: Skop Production, Astro Shaw
Tayangan: 18 April 2024
Bintang: ☆☆☆☆

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI