KESEMUA kelab tempatan harus mengambil tanggungjawab dengan kegagalan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada kempen Piala Asia B-23 di Qatar kali ini dan bukannya hanya pandai menuding jari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kekecewaan ini pasti tidak akan berlaku sekiranya pasukan tempatan mampu menyediakan ‘bahan mentah’ lebih berkualiti sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengendali negara, Juan Torres Garrido.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, berkata situasi sekarang agak membimbangkan kerana skuad muda ini adalah cerminan kepada pasukan senior pada masa akan datang.
“Tidak dinafikan akan ada yang terlepas pandang, tetapi majoriti pemain terpilih adalah yang terbaik. Kita kena salahkan sistem kenapa kita tidak mampu lahirkan pertahanan, pemain tengah dan penyerang terbaik yang sepatutnya tugas itu adalah kerja kelab.
“Tetapi, apabila kita gagal kelab tempatan juga patut terasa dan netizen pun jangan hanya tahu salahkan FAM. Bukan soal saya sayangkan FAM, tetapi inilah fakta dan ia lebih kepada salah kelab yang tidak mampu lahirkan pemain lebih baik.
“Kilang pemain adalah kelab dan FAM hanya kelolakan pasukan jika ada pertandingan antarabangsa. Tolong utamakan negara, bukannya kelab dan saya juga tidak mahu salahkan pemain atas kegagalan kali ini.
“Saya tidak mahu sentuh soal taktikal pasukan sebab itu adalah keputusan jurulatih. Netizen juga jangan cuba-cuba jadi jurulatih sebaliknya kita serahkan tugas memilih kepada pakar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir berharap kegagalan kali ini dapat ‘membuka mata’ FAM yang tindakan segera wajib diambil bagi menyediakan platform lebih baik buat pemain muda negara.
Apa yang diperkatakan Hasnizam ini seakan selari dengan laporan media tempatan pada 2022 yang mendedahkan tinjauan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati pemain bola sepak di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik.
“Tanya badan induk ekosistem pertandingan untuk remaja OK ke? Tak tegas! Hanya nak jaga hati dan undi sahaja. Sebab itu mentaliti segelintir pengurusan senior kelab tidak berubah (dengan) cara kerja takuk lama.
“Bila bercakap tentang pertandingan dan perlawanan, apakah jumlah perlawanan itu cukup untuk pemain muda demi pembangunan dan tingkatkan kualiti mereka buat skuad Malaysia B-23? Ini FAM kena fikir bukan syok sendiri buat KPI tanpa lihat realistik dan realiti dalam anjuran pertandingan sendiri,” katanya.