fbpx

Nilai buku pesanan Fajarbaru meningkat kepada RM1.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fajarbaru sedang membina projek pembangunan baharu untuk menambah portfolio perniagaannya. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) telah dianugerahkan kontrak bernilai RM252.26 juta daripada WCT Holdings Berhad (WCT), menjadikan jumlah buku pesanan pembinaannya meningkat kepada RM1.2 bilion.

Anak syarikat milik penuh Fajarbaru, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd.  telah menerima surat anugerah daripada WCT Construction Sdn Bhd (WCTC), anak syarikat tidak langsung WCT Holdings Berhad untuk kontrak tersebut.

 Ia melibatkan kerja-kerja pembinaan untuk bangunan utama bagi projek pembangunan dalam dua fasa yang akan datang. 

Projek ini terdiri daripada dua blok pangsapuri servis lapan menara dengan jumlah 2,048 unit kediaman berserta 69 unit komersial di Johor Bahru, Johor itu dijangka siap pada bulan Mei 2027.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata,  ini salah satu kontrak terbesar Fajar Baru yang dimenangi setakat ini dan menjadikan buku pesanan bagi projek yang sedang berjalan meningkat kepada lebih RM1 bilion.

“Pemerolehan kontrak ini mengesahkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi pembinaan yang dipercayai untuk pemaju hartanah utama seperti WCT. 

“Kami berterima kasih kepada WCT atas kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami dan akan bekerjasama rapat dengan mereka untuk memastikan kejayaan projek ini.

“Kami percaya tumpuan pada nilai tambah dan hasil yang luar biasa akan membolehkan Kumpulan mengembangkan lagi penglibatan dalam pembangunan hartanah ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Kumpulan terlibat dalam pelbagai projek pembinaan termasuk bangunan kediaman bertingkat tinggi, pangsapuri mampu milik, kompleks runcit, pangsapuri servis, dan pembangunan semula kemudahan tentera. 

Pada Mac lalu, Fajarbaru memperoleh kontrak bernilai RM120.82 juta untuk kerja-kerja pembinaan Johor Golf & Country Club, menandakan penerokaan sulung Kumpulan ke Johor.

Kumpulan  sedang membida tender untuk projek pembinaan dengan anggaran nilai RM5 bilion merentas sektor swasta dan kerajaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI