fbpx

Kesuma tawar 3,000 kerja industri hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven ketika majlis pelancaran karnival FOTO AMARULLAH ZAINUZZAMAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam industri hijau menerusi anjuran Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau Kesuma 2024.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, karnival yang dilancarkan hari ini adalah sebagai tindak balas Kementerian terhadap peningkatan permintaan bakat profesional mahir dalam ekonomi hijau di negara ini.

Susulan kewujudan pesaing era baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan juga ekonomi hijau, pekerja perlu dimantapkan dengan kemahiran bagi menghadapi cabaran ekonomi abad ke-21.

Katanya, Kesuma menganjurkan 20 karnival di seluruh negara sehingga 1 Mei ini (Hari Pekerja) bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kita akan menawarkan lebih 13,000 pekerjaan di seluruh negara sempena Hari Pekerja.

“Hari ini, di karnival ini kita tawar 3,000 pekerjaan dalam ekonomi hijau dengan tangga gaji bermula RM3,000 hingga RM16,000 sebulan.

“Ini adalah fokus Kesuma untuk mempersiapkan tenaga kerja Malaysia berdepan dengan cabaran ekonomi di abad ke-21,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Karnival Kemahiran Hijau Kesuma dan Karnival Kerjaya Hijau MyFuture jobs 2024 di Avenue K, di sini, hari ini.

Majlis ini merupakan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Seperti saya maklumkan, TalentCorp melaksanakan satu kajian impak terhadap kesan AI, digitalisasi ekonomi hijau ke atas pasaran kerja di Malaysia.

“Laporan pertama (interim) akan siap dalam masa enam bulan, yang mana akan memberikan kerangka atau panduan kepada kerajaan mahupun pembuat dasar malah ia juga kepada syarikat, pekerja rakyat untuk persiapkan diri berdepan ekonomi abad 21,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kajian dilaksanakan, beliau memaklumkan ia akan membantu mengkaji kesan kepada sektor pekerjaan serta bentuk latihan diperlukan oleh setiap pekerja.

“Kita akan lihat apa kesan ekonomi hijau dan Ai kepada pekerjaan sedia ada, apa kerja yang kekal dan yang mungkin akan diganti dalam bentuk lain selepas adanya kajian itu.

“Dengan kerangka ini, barulah kita boleh buat keputusan dengan lebih tepat dari segi bentuk insentif yang perlu diberikan kepada syarikat SME dan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI