fbpx

K2

Kahwin bulan Syawal bawa malapetaka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mengikut tradisi bangsa Arab, Syawal dianggap bulan membawa malapetaka pada rumah tangga yang dibina pada bulan itu.- Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, saya selalu mendengar bahawa berkahwin di bulan Syawal merupakan sunah Nabi SAW. Adakah perkara ini benar dan apakah hukum berkahwin di bulan Syawal?

Jawapan: Hukum perkahwinan di bulan Syawal adalah disunatkan jika diniatkan untuk mengikut dan mengambil keberkatan daripada perkahwinan Nabi SAW dan Aisyah RA.
Namun, jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal, maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai.

Mengikut tradisi bangsa Arab, Syawal dianggap sebagai bulan yang membawa malapetaka kepada rumah tangga yang dibina pada bulan tersebut.
Untuk meruntuhkan tradisi ini, Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RA pada bulan Syawal.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah RA berkata, “Rasulullah SAW telah mengahwini ku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama dengan ku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah daripada ku?” – (Riwayat Muslim)

Tujuan Aisyah RA menggambarkan keberuntungan dirinya yang berkahwin dengan Rasulullah di bulan Syawal sebagai menandakan bahawa perkahwinan itu tidak membawa apa-apa kemudaratan seperti sial yang disangka oleh masyarakat jahiliah.

Ini menunjukkan kepercayaan bahawa bulan Syawal boleh membawa malapetaka kepada rumah tangga adalah tidak benar.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal.

Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini menunjukkan bahawa berkahwin dan bersama pada bulan Syawal adalah sunat. Para ashab Syafi’i telah menyebut dengan jelas mengenai kesunatannya.”

Dalam mazhab Syafi’i disebutkan bahawa antara perkara yang disunatkan dalam perkahwinan adalah melakukannya pada bulan Syawal.

Imam al-Ramli berkata, “Disunatkan untuk berkahwin dan bersama pada bulan Syawal, diadakan di masjid, dalam khalayak ramai dan pada waktu siang.”

Alasan mengapa disunatkan untuk berkahwin pada bulan tersebut adalah kerana mengikut amalan Nabi SAW.

Oleh itu, diriwayatkan juga bahawa Aisyah gemar para wanita daripada keluarganya berkahwin pada bulan Syawal sebagai mengambil keberkatan kepada perkahwinan beliau.

Bagaimanapun, Imam al-Syaukani mengkritik pendapat ini kerana menurut beliau, tidak ada riwayat yang khusus menceritakan bahawa Nabi SAW sengaja memilih Syawal untuk dilakukan perkahwinan.

Menurut beliau, perkahwinan tersebut hanyalah terjadi secara kebetulan sebagaimana Nabi SAW juga berkahwin pada bulan-bulan lain.

Meskipun begitu, pandangan Imam al-Syaukani ini tidak tepat kerana jika perkahwinan tersebut berlaku secara kebetulan, lalu mengapa Aisyah RA mengkaitkan perkahwinan di bulan Syawal untuk mendidik masyarakat ketika itu agar tidak mempercayai sial.

Mengenai masalah ini, kami berpandangan bahawa perkahwinan pada bulan Syawal disunatkan jika diniatkan untuk mengikut Nabi SAW.

Meskipun tidak ada dalil yang jelas menyebut berkenaan sunat berkahwin ketika bulan Syawal, namun ulama memahami kesunatannya daripada kenyataan Aisyah RA. Selain itu, perkahwinan di bulan Syawal disunatkan ketika dia boleh memilih sama ada ingin melakukannya pada bulan Syawal atau pada bulan-bulan lain. Manakala, jika ada keperluan untuk berkahwin pada selain bulan Syawal, maka ketika itu tidak lagi disunatkan untuk berkahwin pada bulan tersebut.

Kesimpulannya, hukum perkahwinan di bulan Syawal adalah disunatkan jika diniatkan untuk mengikut dan mengambil keberkatan daripada perkahwinan Nabi SAW dan Aisyah RA.
Namun, jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal, maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI