PETALING JAYA – Kesemua mangsa beragama Islam yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak semalam disifatkan sebagai syahid akhirat.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berkata demikian berhubung insiden menyayat hati yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM ketika menjalani raptai sempena sambutan Hari TLDM ke-90.
“Syahid dunia, mati ketika berperang dengan tentera kafir (jenazah mereka tidak perlu mandi dan dikafan), manakala syahid akhirat wajib dimandi, dikafan serta disolatkan,” katanya menerusi video ceramah beliau semalam.
Mengulas lanjut, Ustaz Azhar berkata, berdasarkan hadis, terdapat kematian yang disifatkan sebagai syahid akhirat meskipun tidak meninggal dunia dalam medan peperangan.
“Sebagai contoh, mati beranak, mati lemas, mati terbakar, mati akibat wabak atau penyakit dalam perut serta mati dihempap atau ditindih sesuatu yang berat.
“Jadi, kalau mati tertindih helikopter, maka ulama kiaskan dengan mati tertindih benda yang keras,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE