PUTRAJAYA – Kerajaaan bersetuju mengagihkan bantuan kepada ahli keluarga dan waris mangsa yang terlibat dalam nahas dua helikopter di Lumut, Perak pagi semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Tanpa memperincikan bentuk bantuan yang bakal diberikan, Fahmi memberitahu, perkara itu akan diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat.
“Rakan-rakan media boleh merujuk perkara itu menerusi kenyataan oleh Menteri Pertahanan hari ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pertahanan memberi jaminan untuk menyegerakan laporan interim dan laporan penuh tragedi tersebut.
“Laporan interim mengenai nahas itu akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam masa sebulan,” katanya.
Dalam insiden pukul 9.30 pagi kelmarin, tujuh kru dan tiga penumpang maut dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter ketika latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut.
Dua helikopter yang terlibat adalah jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak. – KOSMO! ONLINE