fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Ibu bapa sukar terima kehilangan Sivasutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU mendiang Leftenan T. Sivasutan yang maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut ditenangkan ahli keluarga di kediamannya di Taman Serdang Jaya, Sitiawan, Lumut semalam.

BERUAS – “Ibu bapa mendiang terlalu sedih kerana satu-satunya anak lelaki mereka hilang sekelip mata”.

Demikian kata M. Sivanesan, 23, sepupu kepada Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam.

Menurut Sivanesan, ibu bapa mendiang mengetahui kejadian menimpa anak tunggal lelaki daripada tiga beradik itu ketika berada di sebuah kuil di Teluk Intan.

Katanya, kedua-dua warga emas yang merupakan pesara guru itu sehingga kini masih terkejut dan sukar menerima hakikat kehilangan Sivasutan.

“Keadaan ibu bapa mendiang tidak okay selepas pulang dari hospital, mereka masih belum dapat terima yang satu-satunya anak lelaki mereka maut dalam kejadian itu.

“Isteri mendiang juga dalam keadaan lemah. Mereka kini ditenangkan oleh saudara-mara, jadi waktu sekarang tidak sesuai untuk ditemubual,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah mendiang di Taman Serdang Jaya, Sitiawan di sini semalam.

M. SIVANESAN menunjukkan gambar sepupunya, Leftenan T. Sivasutan yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam.

Menurut Sivanesan, hubungannya dengan mendiang rapat dan lelaki yang mesra disapa dengan panggilan abang itu juga pernah berpesan agar dia dapat tengok-tengokkan keluarganya.

“Abang seorang yang sangat baik, dia tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap. Abang minat bidang ketenteraan dan memang mahu menjadi anggota TLDM.

“Sebagai antara sepupu yang rapat, saya amat terasa dengan kehilangan abang. Sukar untuk terima sebab orang yang selalu datang rumah dan menjadi tempat bercerita, tiba-tiba sahaja hilang,” ujarnya.

Tambahnya, mendiang yang juga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkhidmat bersama TLDM hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini bertugas di Sandakan, Sabah.

“Sekarang ini kakak dan adik perempuan mendiang berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menunggu proses bedah siasat dan kalau semua selesai kami akan menguruskan (upacara kematian) esok,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI