KUALA LUMPUR – “Allahyarham selalu cerita betapa seronoknya dia dapat menerbangkan helikopter kerana Allahyarham sebelum ini membawa kapal terbang.”
Begitulah kata penyampai radio Suria FM, Bob Ringgo, 48, yang juga merupakan sepupu kepada Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, semalam.
Menurutnya, kehilangan Allahyarham Wan Rezaudeen amat dirasai kerana beliau merupakan anak lelaki sulung harapan keluarga.
Allahyarham merupakan seorang yang pendiam dan tidak suka berkongsi cerita mengenai dirinya atau ahli keluarga di media sosial.
“Bagaimanapun, Allahyarham ada bercerita mengenai keinginannya untuk bersara awal kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Pernah sekali dia beritahu saya cita-citanya untuk bawa jet pejuang,” katanya ketika ditemui wartawan di pekarangan Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati, di sini hari ini.
Bob berkata, usai menerima berita mengenai tragedi tersebut, dia berasa sangat terkejut kerana menyangka Allahyarham berada di Sabah dan bukannya di Lumut.
“Saya sangka dia berada di Sabah, tapi bila nampak nama Wan Zainal Abidin (bapa Allahyarham), saya terus telefon bapa Allahyarham untuk pengesahan.
“Pada awalnya, bapa Allahyarham menafikan. Tetapi bila (berita) sah, memang saya rasa sangat sedih. Kejadian ini memang tidak diduga,” katanya.
Menurut sepupu Allahyarham, Saiful Arifin Sukiman, 38, Allahyarham Wan Rezaudeen pernah menyuarakan hasrat untuk berjumpa ibunya dalam masa terdekat.
“Dia bercadang untuk berjumpa dengan ibunya selepas menamatkan latihan kerana dia tidak sempat bertemu semasa Hari Raya Aidilfitri. Jadual dia sangat padat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, TLDM mengesahkan 10 anggota meninggal dunia susulan tragedi dua buah pesawat bertembung di udara dalam kejadian di Pangkalan TLDM, Lumut, Selasa lalu.
TLDM menerusi kenyataan berkata, insiden tersebut berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung, Sabtu ini.
Menurutnya, kejadian melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM. – KOSMO! ONLINE