PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sehingga 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memberitahu, cuaca buruk itu dijangka melanda semua negeri kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor sehingga awal malam.
“Hujan lebat, angin kencang berserta ribut petir dijangka tertumpu di bahagian utara melibatkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Selain itu di bahagian barat Semenanjung pula, hujan lebat dijangka tertumpu di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan (Jelebu),” ujarnya.
Sementara itu di Sarawak, antara kawasan dijangka mengalami ribut petir adalah Sri Aman (Sri Aman), Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu (Sibu dan Kanowit), Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Hujan lebat berserta ribut petir juga dijangka melanda Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Keningau) dan Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau) serta Labuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE