PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan bergerak sebagai satu pasukan di bawah panji Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Kuala Kubu Baharu bulan depan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, mesyuarat pertama penyelarasan PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang turut dihadiri Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong telah diadakan malam tadi.
“Mesyuarat dihadiri oleh wakil-wakil BN dan PH sebagai kebersamaan kita di bawah Kerajaan Perpaduan. Pelbagai perkara dan penyusunan gerak kerja dibincangkan.
“Insya-Allah kita akan bergerak sebagai satu pasukan di bawah panji Kerajaan Perpaduan. Dengan membawa mesej politik kesederhanaan, kita akan meneruskan agenda kerajaan memberi khidmat terbaik untuk rakyat dan terus membangunkan negara ke arah kestabilan dan kemakmuran,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Zambry dan Steven Sim diberi tanggungjawab bersama menjadi pengerusi penyelarasan gerak kerja jentera PRK DUN Kuala Kubu Bharu mewakili semua parti Kerajaaan Perpaduan.
Ketetapan itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE