fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: 642 anggota polis Selangor bertugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sasikala (kiri) pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan IPK Selangor, hari ini. Foto Saddam Yusoff/ KOSMO!

SHAH ALAM – Seramai 642 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bermula Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, ini terutama pada hari penamaan calon dan pengundian bagi PRK berkenaan.

“Mereka ditugaskan di lokasi-lokasi seperti pusat mengundi, menjaga saluran pengundian, tempat penjumlahan undi dan kawalan keselamatan.

“Polis memberikan jaminan keadaan keselamatan pada hari mengundi adalah di tahap terbaik. Justeru, orang ramai diminta keluar mengundi tanpa sebarang keraguan berkaitan keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurut beliau, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor akan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil parti-parti dijangka bertanding bagi pemakluman yang perlu dipatuhi sepanjang berkempen khususnya sepanjang PRK itu.

Ujarnya, ini termasuk prosedur permohonan permit berkempen yang dilaksanakan agar perjalanan PRK berjalan lancar.

“Kita berharap parti-parti bertanding mengelakkan isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R),” tegasnya.

Mengulas lanjut, Sasikala memaklumkan berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati 40,226 orang pengundi bagi DUN tersebut.

“Bagi pengundian awal pula pada 7 Mei depan menunjukkan jumlah pengundi awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah seramai 625 orang manakala tentera dengan 238 orang,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI