fbpx

Perbuatan mencederakan mangsa itu kejam – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suzendran dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – “Perbuatan kamu dianggap kejam sehingga sanggup mencederakan mangsa,” tegas Hakim Norazlin Othman di Mahkamah Sesyen di sini, ketika menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan terhadap seorang penganggur atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dua beranak, bulan lalu.

Terdahulu, P. Suzendran, 27, yang kelihatan sugul mengaku bersalah dan mengakui semua fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama A. Alagendran yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) dan S. Sathiyakumar masing-masing berusia 39 tahun didakwa bersama menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah parang terhadap ibu dan anak yang masing-masing berusia 11 dan 37 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di rangkaian restoran makanan segera di Kota Kemuning di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 27 Mac lalu.

Norazlin dalam penghakimannya berkata, pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan wajar diringankan hukuman.

“Namun, mahkamah mengambil kira faktor kekerapan berlakunya kes jenayah rompakan di negara ini. Selain itu, perbuatan kamu kejam dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun serta tiga sebatan,” katanya.

Terdahulu, ketika rayuan dilakukan Peguam Muhammad Hidhir Mustapa yang mewakili Suzendran memohon hukuman diringankan dengan anak guamnya telah insaf dan menyesali perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hosna Mohamad Zikri bagaimanapun memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Pada prosiding sama, Suzendran turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh mahkamah itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak hasil jualan berjumlah RM115 milik sebuah kedai serbaneka di Seksyen 23 di sini, kira-kira pukul 5.25 pagi, 11 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI