KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menarik pelaburan asing berikutan pendiriannya yang neutral dalam suasana ketidaktentuan geopolitik global, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Jelasnya, pendirian tersebut juga dijangka mampu membantu perdagangan antarabangsa negara untuk jangka panjang.
“Apabila bercakap tentang geopolitik, banyak syarikat yang datang ke sini untuk mengembangkan perdagangan mereka. Mereka memilih Malaysia kerana pendirian neutral ini. Kami mesra dengan semua negara.
“Dalam jangka masa panjang, lebih banyak syarikat akan datang ke Malaysia. Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk mendapatkan seberapa banyak syarikat datang ke sini yang kemudiannya akan meningkatkan perdagangan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan Kad Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi suku pertama 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menambah, kerajaan dijangka mampu memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan, yang juga merupakan FTA pertama Malaysia dengan negara dari Asia Barat.
“Ia bukan sahaja FTA, ia adalah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif yang akan meliputi digital, hijau dan segala-galanya serta tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Berhubung perkembangan pelan strategik semikonduktor negara, beliau berkata, pihaknya diberi masa sehingga akhir Mei ini untuk membangunkan pelan tersebut. – KOSMO! ONLINE