KUALA LUMPUR – Belum pun bermula, program realiti terbaharu terbitan Astro, The Hardest Singing Show telah terpalit dengan kontroversi apabila penyanyi Naim Daniel menarik diri pada saat akhir.
Perkara tersebut mengejutkan pihak produksi kerana Naim telah pun terlibat dengan penggambaran poster dan montaj program berkenaan.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd. Salleh menjelaskan, pihaknya hanya menerima emel daripada pihak pengurusan Naim yang memaklumkan tentang pengunduran diri penyanyi itu.
“Pihak kami terkejut apabila mendapat emel daripada pihak Naim Daniel untuk menarik diri pada petang kelmarin.
“Sehingga kini pihak kami masih belum dapat berhubung secara langsung dengan Naim. Apapun ruang perbincangan masih terbuka andai Naim berubah fikiran untuk krmbali menyertai program ini,” katanya pada sidang media The Hardest Singing Show di The Gardens Mall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Justeru itu, pihak produksi The Hardest Singing Show memutuskan untuk meneruskan program tersebut dengan sembilan peserta tanpa mencari pengganti untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Naim.
Sementara itu, Naim, 26, ketika dihubungi pihak Kosmo! Online enggan mengulas lanjut berkenaan isu pengunduran dirinya dan berjanji akan memberikan kenyataan selepas semua perkara berkaitan selesai.
“Nanti semua sudah selesai saya akan beri kenyataan. Biarlah kenyataan keluar dari mulut saya sendiri,” kata Naim.
The Hardest Singing Show, sebuah program kompetitif yang buat pertama kalinya mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan peserta yang terdiri daripada penyanyi terkenal.
Barisan peserta yang bakal bersaing selama 10 minggu dalam program tersebut ialah Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi, DeFam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
Program nyanyian ini akan dikendalikan oleh pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad bersama pengacara, pelawak serta juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose.
Sementara itu, Datuk Rossa , Edry Abdul Halim dan Zizan Razak dipilih sebagai juri tetap program yang akan mula ditayangkan pada 12 Mei, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran 104).