MELAKA – Dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung keretakan sedang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai sengaja mencetuskan sensasi.
Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak berlaku keretakan seperti yang didakwa Muhammad Sanusi sebaliknya semua parti gabungan memainkan peranan proaktif dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Kata beliau, perbezaan pendapat antara parti politik adalah perkara biasa dan boleh diselesaikan secara dalaman.
“Tidak ada keretakan apa-apa. Sebelum ini MIC dikatakan tidak akan bekerjasama (dalam PRK) tetapi hari ini MIC akan melancarkan bilik gerakan di Kuala Kubu Bharu.
“Politik ini biasalah bermain dengan persepsi. Sanusi mesti ada isu sensasi yang dimainkan, baru dia boleh hidup.
“Setakat ini Alhamdulillah MCA datang dalam mesyuarat penyelarasan semua pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan. Sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan saya tidak melihat masalah keretakan hubungan,” katanya pada sidang akhbar perasmian LOCCA Cafe di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan MCA dan MIC mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang dijadualkan 11 Mei depan sekiranya calon dikemukakan bukan daripada gabungan Barisan Nasional (BN).
Tambah Asyraf Wajdi, sebarang perbezaan pendapat dalam Kerajaan Perpaduan ditangani secara berhemah melalui dua peringkat iaitu Majlis Pimpinan dan Sekretariat. – KOSMO! ONLINE