MELAKA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan program Mini Ulul Albab di 49 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bermula tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu dibuat seiring dengan hasrat Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) yang menyarankan agar program pengajian tahfiz Ulul Albab diperluaskan di setiap MRSM.
Katanya, menerusi program itu para pelajar disarankan untuk menghafal sekurang-kurangnya empat juzuk al-Quran yang ditetapkan.
“Selain daripada lapan buah MRSM yang buat pengkhususan dalam Ulul Albab, bermula tahun ini kita perkenalkan apa yang dipanggil Mini Ulul Albab melibatkan 49 buah MRSM lain di seluruh negara.
“Di MRSM Ulul Albab pelajar akan menghafal al-Quran dalam tempoh lima tahun melibatkan 30 juzuk tetapi MRSM Mini Ulul Albab para pelajar akan menghafal sekurang-kurangnya empat juzuk iaitu juzuk satu, juzuk dua, juzuk tiga dan terkahir juzuk 30,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan LOCCA Cafe di pusat beli-belah Dataran Pahlawan di sini, hari ini.
Terdahulu, pada program itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membangunkan usahawan di negeri ini merangkumi program latihan, senggaraan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan.
Ujarnya, bantuan itu akan memberi manfaat kepada 8,000 hingga 10,000 usahawan Bumiputera baharu dan sedia ada.
“Bagi program pembangunan usahawan Melaka, Mara telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta termasuklah program latihan, naik taraf untuk mereka memastikan perniagaan berdaya maju,” katanya. – KOSMO! ONLINE