ATHENS – Jerebu berwarna jingga yang terbentuk akibat pergerakan debu dari Gurun Sahara menyelubungi beberapa kawasan di Greece terutamanya bandar ibu kota, Athens semalam, lapor stesen penyiaran CNN.
Ia mendorong pihak berkuasa negara berkenaan mengeluarkan amaran kesihatan, manakala fenomena itu mewujudkan pemandangan luar biasa.
Perkhidmatan meteorologi Greece berkata, keadaan cuaca itu berpunca daripada pergerakan debu dari Afrika. Ia menyebabkan peningkatan pengumpulan debu di atmosfera terutamanya di selatan Greece.
“Ia adalah salah satu episod kepekatan debu dan pasir yang paling serius dari Gurun Sahara sejak 21 hingga 22 Mac 2018, apabila ia melanda Pulau Crete khususnya,” kata Pengarah Penyelidikan Cuaca Balai Cerap Athens, Kostas Lagouvardos kepada agensi berita AFP.
Bagaimanapun, debu itu diramal beransur-ansur berkurangan pada pagi ini sebelum bergerak ke bahagian timur negara berkenaan.
Video dan imej yang dikongsikan secara online menunjukkan orang ramai di Athens menyaksikan jerebu berwarna jingga oren dari bukit berhampiran ibu kota Greece itu.
Seorang pengguna media sosial menulis, debu jingga terang telah menjadikan Athens kelihatan seperti planet Marikh.
Dalam pada itu, negara di Mediterranean timur, Cyprus turut terjejas oleh fenomena serupa.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), sistem tekanan rendah di utara Afrika membawa debu itu ke Cyprus beberapa kali pada pertengahan bulan ini sekali gus mengurangkan kualiti udara. – AGENSI