GEORGE TOWN – Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini, kira-kira pukul 8.50 malam ini.
Suasana pilu menyelubungi suasana sebaik sahaja van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, kira-kira pukul 7.41 malam.
Lebih 1,000 yang hadir termasuk ibu bapa Muhammad Firdaus, adik-beradik, kenalan serta orang ramai berada di sekitar pekarangan masjid berkenaan bagi menghadiri majlis pengebumian tersebut sejak pukul 5 petang.
Turut kelihatan, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol serta Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Sosial negeri, Lim Swee Khim.
Jenazah Muhammad Firdaus disolatkan oleh Imam Harun Mahyudin di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar dan dikebumikan mengikut istiadat pengebumian ketenteraan selepas solat Maghrib.
Anggota tentera turut mengiringi jenazah yang kemudiannya diusung oleh pegawai penghormatan tentera ke tanah perkuburan.
Keranda membawa jenazah yang ditutupi dengan Jalur Gemilang kemudian diberikan tabik hormat oleh pegawai dan anggota tentera sebagai penghormatan terakhir.
Semalam, media melaporkan dua helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua 10 mangsa yang berada dalam kedua-dua helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE