fbpx

IWK antara peneraju utama SDG6 Sidang Kemuncak Air Sedunia 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. diiktiraf sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam Sustainable Development Goal 6 (SDG6) Pledge pada Sidang Kemuncak Air Sedunia 2024.

Tiga syarikat lain yang turut menerima pengiktirafan sama ialah Phnom Penh Water Supply Authority dari Kemboja, National Water and Sewerage Corporation (Uganda) dan Sanepar (Brazil).

Sebagai salah satu daripada 300 Pemimpin Air Global, pencapaian itu menggariskan peranan penting IWK dalam menyuntik inspirasi dan meningkatkan kesedaran SDG6 pada skala global.

Malah, ia juga menunjukkan dedikasi syarikat yang tidak berbelah bahagi dalam usaha untuk mencapai komitmen SDG6 pada 2030.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu merupakan satu tanda aras penting bagi syarikat dan negara secara keseluruhannya.

“Kejayaan ini menyuntik inspirasi kepada semua apabila menyaksikan Malaysia melangkah ke pentas global berganding bahu dengan pemimpin dari industri utiliti di seluruh dunia.

“Pengiktirafan yang dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada dalam menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” ulasnya.

Sementara itu, Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pengiktirafan tersebut merupakan bukti komitmen IWK terhadap usaha kemampanan demi mencapai agenda SDG6.

“Memandangkan IWK menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini, pengiktirafan ini merupakan satu kebanggaan dan bukti dedikasi IWK sepanjang berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

“IWK akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan mampan, memberi tumpuan kepada pengurusan sistem pembetungan yang bertanggungjawab, perlindungan kesihatan awam, memupuk amalan hijau yang inovatif dan memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sidang Kemuncak Air Sedunia atau Global Water Summit 2024, yang diadakan di London, United Kingdom, baru-baru ini mengumpulkan kira-kira 900 pemain industri air yang terdiri daripada golongan profesional, pihak berkepentingan dan pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran utama, inovasi dan peluang dalam sektor air.

Sidang kemuncak itu merangkumi pelbagai topik termasuk pengurusan air, teknologi, kewangan, dasar dan kemampanan, serta berfungsi sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama dalam menangani isu air global secara kolektif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI