fbpx

Gagal seludup dadah ke Sarawak guna kapal terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sasikala menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang akhbar tersebut, hari ini. FOTO SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kegiatan dua buruh binaan menyeludup dadah ke Sarawak dengan menggunakan penerbangan sejak empat bulan lalu terbongkar apabila dicekup di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 2, dekat sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek termasuk warga Indonesia berusia 29 dan 24 tahun ditahan kira-kira pukul 4.11 pagi.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat 21.2 kilogram bernilai keseluruhan RM1.76 juta di dalam beg sandang, bagasi dan kondominium sewa mereka di Seri Kembangan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati mereka telah beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan bagi tujuan tersebut.

Katanya, hasil siasatan juga menunjukkan mereka tidak pernah menggunakan keldai dadah sepanjang operasi pengedaran.

“Pengesanan dadah dalam masing-masing satu beg sandang dan bagasi itu dilakukan menerusi mesin pengimbas dan dadah itu dibungkus beberapa kali menggunakan plastik hitam.

“Bagasi dan beg sandang cuma ada dadah dan mereka dijangka akan berlepas ke Sibu, Sarawak awal pagi itu yang merupakan pasaran utama pengedaran mereka,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Susulan soal siasat dilakukan kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah unit kondiminum yang disewa mereka selain turut merampas lagi pelbagai jenis dadah.

Sasikala menjelaskan kesemua dadah yang dirampas adalah 14.95 kilogram pil eramin 5, methamphetamine (7kg), pil ecstacy (61 gram) dan 169.65 gram ketamine yang diperoleh di sekitar Lembah Klang.

“Kita percaya mereka ini terlampau yakin susulan telah beberapa kali berjaya melepaskan diri sebelum ini di lapangan terbang. Biasanya mereka menggunakan penerbangan pada waktu sesak waktu pagi atau petang,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada penglibatan orang dalam, Sasikala menegaskan setakat ini siasatan tidak menunjukkan perkara tersebut sebaliknya mereka menukar modus operandi pada awal pagi kerana kurangnya pergerakan orang ramai.

Beliau memaklumkan, semakan mendapati seorang suspek tempatan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah termasuk dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI