PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah dan baik hampir di seluruh negara pagi ini.
MetMalaysia menerusi laman sesawangnya berkata, cuaca cerah tanpa hujan di kesemua negeri di Semenanjung itu dijangka berterusan sehingga ke tengah hari ini.
“Sementara itu, hujan lebat dan ribut petir yang tertumpu di bahagian selatan Sarawak dan Bintulu pula akan beransur reda sehingga awal tengah hari,” katanya.
Walau bagaimanapun, bagi cuaca sebelah petang pula, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir di hampir semua negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
“Hujan lebat berserta ribut petir dijangka tertumpu di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Selain itu, cuaca buruk sama turut dijangka melanda keseluruhan negeri Sarawak dan beberapa kawasan di negeri Sabah melibatkan Pantai Barat, Pedalaman dan Tawau. – KOSMO! ONLINE