Perkataan biduanita sebenarnya sudah agak dilupakan rakyat Malaysia, sehinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membahasakan biduanita kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dalam ciapannya sewaktu hadiri konsert maestro India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu.
Seingat penulis, ciapan itulah asal mulanya cakap-cakap peminat muzik tentang biduanita sehingga ada dalam kalangan netizen terfikir mungkinkah sudah tiba masanya untuk Malaysia memiliki gelaran Biduanita Negara ketiga sekali gus menyampaikan usul itu di media sosial.
Beberapa hari kebelakangan ini semakin hangat isu ini apatah lagi setelah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang pernah mengakui dalam sidang Dewan Rakyat dirinya ‘lebih kepada Sitizoner berbanding Swifties (peminat Taylor Swift)’ memberitahu, pihaknya telah memulakan langkah meneliti hal pengiktirafan itu.
Biduanita Negara adalah satu pengiktirafan paling tinggi buat seseorang penyanyi wanita di Malaysia. Hanya dua penyanyi wanita telah menerima gelaran itu iaitu Saloma atau Salmah Ismail (1978) dan Sharifah Aini (2006).
Bagi penulis, pilihan Siti Nurhaliza sudah terang lagi bersuluh. Mereka yang perdebatkannya tinggal dalam gua di Malaysia barang kali. Penulis setuju dengan orang kuat industri muzik, Jennifer Thompson bahawa gelaran Biduanita Negara adalah ‘berat’ dan pada masa ini cuma Siti Nurhaliza yang sesuai.
Kebetulan ketiga-tiga mereka memiliki pangkal nama sebenar S, Salmah, Sharifah dan Siti yang sebati sebagai nama-nama lazim wanita Melayu Malaysia. Cuma tiga manusia ini jugalah dalam sejarah Malaysia yang acap dilabel media miliki suara merdu bak buluh perindu. Selain mencipta fenomena pada era masing-masing, ketiga-tiga mereka juga mampu mengalunkan indah irama-irama asli dan tradisional sekali gus membawa jati diri negara.
Ketiga-tiga penyanyi wanita ini turut memiliki lagu raya malar segar popular dengan Sharifah Aini dan Siti penyanyi paling prolifik atau banyak seleksi lagu raya sekali gus menjadi indikasi betapa signifikannya mereka dengan masyarakat zaman berzaman. Sharifah Aini dan Siti juga dikatakan mempunyai latar belakang sejarah zaman kecil yang sama menjual kuih di kampung masing-masing, seorang di Johor, seorang di Pahang.
Penulis percaya, Biduanita Negara bercirikan penyanyi wanita yang sinonim dengan negara. Pencapaian dan popularitinya mencakup seluruh nusa dan auranya melepasi sempadan, tidak semestinya sampai ke Barat atau Hollywood, kalau begitu, barang kali Anita Sarawak lebih layak daripada Sharifah Aini kerana menyanyi sampai Las Vegas dan Jerman Barat. Jika alasannya Anita Sarawak lahir di Singapura, Saloma juga dilahirkan di sana.
Impak populariti Siti yang dianggap ‘Malaysia’s Sweetheart’ kepada rakyat Malaysia lebih kurang sama dengan Sharifah Aini pada eranya yang juga dikenali di negara Arab. Teringat penulis dengan arwah mak cik jiran depan rumah yang menggantung poster besar Sharifah Aini dalam rumah.
Nama Siti ibarat sudah melekat dengan Malaysia. Bila disebut Malaysia, orang luar rata-rata cuma ingat Mahathir atau Siti Nurhaliza. Bahkan termaktub dalam buku Asam Pedas Sirap Bandung oleh Datuk Jalil Ali, di Tanah Suci Mekah juga, peniaga di sana terus menyebut Siti Nurhaliza bila menyedari pengunjungnya orang Malaysia.
Di Nusantara, bukan sekadar diberikan anugerah supaya tidak lagi bertanding selepas mendominasi 10 tahun populariti serumpun, bahkan, media Indonesia, Detik.com/ detikinet pernah lapor ada yang sehingga ‘claim’ Siti itu milik Indonesia, sudah setaraf rendang dan batik ya! Orang Jepun kalau ada festival muzik setia panggil Siti wakili Malaysia kerana mereka rindukannya walhal negara lain sudah bertukar-tukar penyanyi.
Karier Saloma meliputi era 50an, 60an, 70an, Sharifah Aini 70an, 80an dan 90an, manakala Siti 90an, 2000an, 2010an bahkan 2020an masih mampu mencipta rekod 2 jam habis jualan tiket konsert, adakah itu tidak cukup? Fikir sendirilah!