fbpx

Bicara 1MDB: Tidak penting tanya Najib – Pegawai penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beliau tidak pernah bertanya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada pernah mengarahkan pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Limited.

Good Star merupakan sebuah syarikat yang dikatakan dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Menurut Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin, beliau merasakan tidak penting untuk bertanya perkara tersebut kepada bekas Presiden Umno itu kerana telah mengemukakan pertanyaan mengenai transaksi tersebut kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sewaktu siasatan dan baginya itu sudah mencukupi.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu, tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan kepada syarikat Good Star Limited pada 2009.

Katanya, perkara itu hanya diketahui semasa mesyuarat BOD selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan bahawa transaksi AS$700 juta dilakukan kerana Good Star Limited adalah gabungan kepada PSI.

Saksi pendakwaan ke-20, , Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam keterangannya sebelum ini menyatakan Najib pernah memintanya agar tidak campur tangan apabila bekas Menteri Kewangan II itu menimbulkan kerisauan berhubung pelaburan usaha sama 1MDB dan syarikat perkhidmatan serta pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).

Dalam projek usahasama yang turut dikenali sebagai Projek Aria, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai manakala PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.

Bagaimanapun, usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star sebelum dipindahkan kepada beberapa individu seperti Putera Faisal, Jho Low, Putera Turki dan juga Najib.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-15, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dalam keterangannya sebelum ini, memberitahu beliau mencurigai Najib apabila bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendesak agar perjanjian dengan PSI itu dipercepatkan sedangkan terdapat beberapa perkara penting yang masih belum dilakukan seperti memeriksa latar belakang syarikat PSI.

Mohd. Bakke turut menyatakan bahawa pemindahan wang AS$1 bilion milik 1MDB ke PSI sebanyak AS$700 juta dan 1MDB-PetroSaudi (AS$300 juta) tidak mendapat kebenaran daripada Ahli Lembaga Pengarah dan perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

Mohd. Bakke meletakkan jawatannya pada 19 Oktober 2009 sebagai tanda protes selepas Najib tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap aduannya mengenai salah laku kewangan yang berlaku dalam 1MDB dan turut merasakan Najib terlibat dalam salah laku tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI