PETALING JAYA – Kilang baharu yang dibangunkan oleh ATX Semiconductor Group (ATX) di Zon Dagangan Bebas III, Batu Berendam, Melaka dijangka memulakan operasi secara besar-besaran pada separuh pertama tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif ATX Group, Chris Hsu berkata, ini adalah kilang semikonduktor milik syarikat yang pertama di bina di Malaysia malah projek sulung syarikat di luar negara China.
ATX adalah penyedia semikonduktor utama yang menawarkan perkhidmatan turnkey sepenuhnya yang melibatkan pakej rekaan, ujian kejuruteraan bahagian depan, ujian wafer, ujian pemasangan dan ujian akhir.
Projek pembinaan kilang di bawah nama syarikat, ATX Semiconductor (Melaka) Sdn. Bhd. itu dijangka melibatkan pelaburan sehingga AS$55 juta (RM258 juta) untuk projek pengembangannya di Melaka.
“Fasiliti baharu ini telah memulakan aktiviti pengilangannya dan kami terus menambah kapasiti pengeluaran untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di negara ini dan juga di seluruh rantau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Tambahnya, kemudahan fasiliti baharu itu mewakili satu pelaburan yang besar terhadap teknologi terkini, pembungkusan baharu, pengembangan modal dengan pembinaan kilang baharu bagi membawa inovasi dan kecemerlangan dalam industri semikonduktor serta dalam skala antarabangsa.
“Pelaburan kami di Malaysia bertujuan untuk mengembangkan lagi keupayaan dalam industri ini dan ia menyediakan produk serta perkhidmatan untuk semua industri seperti komunikasi, automotif, pelanggan, industri, pengkomputeran berteknologi tinggi serta perubatan,” jelasnya.
ATX kini memiliki enam kemudahan pengeluaran di seluruh dunia dengan 8,000 kakitangan. -KOSMO! ONLINE