KANGAR – Anak pemimpin kanan politik negeri dan dua pegawai kanan kerajaan negeri antara enam direman dua hari bagi membantu siasatan kes memalsukan dokumen bagi membuat tuntutan palsu bernilai RM600,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd. Noor selepas permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat SPRM Putrajaya, Chin Chen Yuen ditemani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Haslinie Hashim di Kompleks Mahkamah Kangar, di sini hari ini.
Menurut sumber SPRM, kesemua enam suspek lelaki berusia 26 hingga 37 tahun itu direman bermula hari ini hingga esok.
“Dua yang direman itu adalah penjawat awam dari Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri manakala empat lagi adalah pemilik dan kontraktor terlibat.
“Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang sedang atau tidak dilaksanakan sepenuhnya serta tidak memenuhi spesifikasi,” katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan melibatkan beberapa kes projek pembangunan seperti baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula 2022 hingga sekarang dengan anggaran nilai sebanyak RM600,000.
Menurut sumber lagi, kesemua suspek dipanggil untuk memberi keterangan antara pukul 7 hingga 8 pagi di sekitar Perlis sebelum ditahan pada pukul 7 malam semalam.
“Kesemua enam suspek diwakili peguam Mohd. Fadhly Yaacob yang membantah permohonan reman selama tujuh hari atas sebab prosedur kerana penahanan lebih 24 jam untuk siasatan. Selain itu, kesemua anak guamnya juga memberi kerjasama dan kes berkenaan bukan kes jenayah,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan kesemua enam suspek terlibat. – KOSMO! ONLINE