RAWANG – Mengerti keadaan kewangan bekas suami yang tidak stabil, penyanyi Adira Suhaimi memilih untuk tidak menuntut sebarang nafkah iddah dan mutaah daripada Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu.
Ujar Adira atau pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi, 32, dia enggan menyusahkan bekas suaminya itu yang kini berada dalam situasi sukar.
“Yang saya pasti, saya tidak mahukan apa-apa sebab saya tak nak susahkan lagi Datuk Red. Dia pun tengah ‘down’ (tertekan).
“Kita doakan sahaja yang terbaik untuk dia, kehidupan serta kerjayanya.
“Saya percaya kalau rezeki dia murah, ada bahagian untuk anak-anak saya,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Mahu semuanya harmoni, pelantun lagu Pujaan Hati itu berkata, dia tidak menghalang bekas suaminya bertemu dengan empat anak mereka atas persetujuan bersama.
Adira juga memberitahu, anak-anak masih belum mengetahui mengenai perceraian itu namun pasti berita tersebut akan singgah ke pengetahuan mereka dari masa ke masa.
“Buat masa sekarang, anak-anak saya yang jaga tetapi saya tidak menghalang sekiranya dia ingin menjenguk, mengikut persetujuan kami sendiri.
“Saya tak beritahu anak-anak, cuma mereka mesti akan tahu sebab mereka pun sudah pandai membaca,” ujarnya panjang lebar.
Rumah tangga penyanyi Adira Suhaimi dengan usahawan, Datuk Red berakhir perceraian dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, pagi tadi.
Adnan yang dikenali sebagai Datuk Red, 46 melafazkan talak tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Gambak Barat, Rawang, Selangor.
Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.
Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. – KOSMO! ONLINE