PUTRAJAYA – Dianggarkan kira-kira 5 juta rakyat di negara ini berisiko menghidap pradiabetes dan diabetes, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Menurut beliau, selain itu, diabetes juga merangkumi hampir 50 peratus jumlah kos rawatan bagi menguruskan penyakit tersebut menerusi peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya juga ada menyebut tadi hampir 5 juta rakyat Malaysia sebenarnya terdedah kepada pradiabetes dan diabetes ketika ini.
“Dan juga penyakit diabetes ini merangkumi hampir 50 peratus kos rawatan iaitu bernilai hampir RM4 bilion yang kita gunakan dalam peruntukan tahunan KKM,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan program ‘Stand Against Prediabetes; Don’t Sugarcoat It’s (SAPd) dengan tema ‘Saring, Sahkan, Runding dan Ubah’ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, oleh kerana penyakit tersebut lazimnya tidak menunjukkan simptom, kebanyakan individu tidak sedar keadaan mereka selain berkemungkinan tidak menjalani pemeriksaan awal.
Jelasnya, kempen berkenaan bertujuan untuk mendidikan dan menggalakkan orang ramai untuk mengesahkan risiko peribadi mereka, menjalani ujian saringan dan bekerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan untuk menguruskan pradiabetes. – KOSMO! ONLINE