PETALING JAYA – Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi MYFutureJobs Green Job Fair 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April ini di Avenue K, Kuala Lumpur.
Karnival kerjaya anjuran Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bersempena Asean Green Job Forum.
Perkeso dalam kenyataan berkata, dianggarkan sebanyak 50 majikan menyertai karnival itu antaranya AEON Co. (M) Berhad, RHB Bank Berhad, Rapsol Technology Sdn. Bhd., LBS Bina Holdings Sdn. Bhd. serta IHH Healthcare Malaysia (Pantai Medical Centre Sdn. Bhd.) dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM9,000.
Menurutnya, MYFutureJobs Green Job Fair 2024 merupakan platform pendedahan kepada orang ramai untuk memahami dengan lebih jelas konsep serta kerjaya yang dikategorikan sebagai pekerjaan hijau.
“Karnival ini turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya untuk meningkatkan peluang kejayaan dalam temuduga.
“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Keselamatan
Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR),” katanya, hari ini.
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut tentang karnival tersebut, orang ramai boleh melayari www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau lawati portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my. – KOSMO! ONLINE