KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tanah air.
MoU tersebut merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan.
Sebagai permulaan, Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersetuju untuk menaja 4,500 penggiat seni dengan caruman RM23.30 setahun seorang, menjadikan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini menjadi prasyarat untuk sebarang kelulusan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), berkuatkuasa serta-merta.
Beliau berkata, langkah proaktif tersebut bertepatan dengan risiko bencana kerja dalam kalangan penggiat seni.
Ia berperanan sebagai penampan terbaik terhadap sebarang kesan luar jangka yang berupaya merencatkan penggiat seni dengan sumbangan kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Finas bersetuju menggariskan prasyarat daftar dan mencarum Perkeso bagi semua penggiat seni perfileman berikutan kebanyakan penggiat seni bekerja berdasarkan projek tanpa mengira waktu hingga meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.
“Pemeteraian perjanjian persefahaman ini berupaya menambah baik kebajikan serta melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan Perkeso,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perkeso dan Finas di Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.
Tambah Steven, Kesuma juga berharap agar penggiat seni seperti piecemeal, stringer, penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh serta persatuan-persatuan industri seni kreatif yang terlibat di bawah sektor kesenian turut mencarum Perkeso bagi menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka.
Dalam pada iru, Steven turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) iaitu Bantuan Khairat Kematian (BKK) berjumlah RM1,000.
Katanya, ia bertujuan untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini meliputi 20 sektor di bawah skim berkenaan.
“Seramai 3,120 penggiat seni tanah air merupakan pencarum aktif SKSPS setakat 12 April lalu.
“la antara tanggungjawab sosial korporat (CR) Kesuma menerusi Perkeso dengan BKK disalurkan kepada tanggungan atau waris yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan tetapi merupakan pencarum aktif serta memiliki sekurang-kurangnya 12 bulan caruman pada masa kematian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.