PETALING JAYA – Status Whatsapp terakhir Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli mengundang sebak para pengguna media sosial apabila ia seakan-akan memberi bayangan akan pergi untuk selama-lamanya.
Tangkap layar status Allahyarham bertarikh 22 April pada pukul 6.26 petang yang memaparkan sebuah kata-kata tentang perpisahan itu telah dikongsikan oleh kenalan terdekatnya sebelum mula tular di kalangan pengguna yang lain.
“Berbahagialah, aku tidak akan menganggumu lagi seperti hari-hari kemarin,- Ismail Sinaga,” status Whatsapp Allahyarham yang seakan-akan menjadi petanda pemergiannya hari ini.
Difahamkan, Komander Muhammad Firdaus Ramli merupakan salah seorang mangsa nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) yang terkorban dalam kejadian pagi tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 10 kru dilaporkan terkorban setelah dua helikopter TLDM bertembung semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada 9.32 pagi tadi.
Ujarnya, insiden itu melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM.- KOSMO! ONLINE