LUMUT – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengalami kecederaan setelah terkena serpihan salah sebuah helikopter yang terlibat dalam insiden pertembungan di Pangkalan TLDM Lumut pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada waktu kejadian, anggota tersebut sedang berenang di kolam renang yang menjadi lokasi helikopter Fennec TLDM terhempas setelah bertembung dengan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM.
“Sewaktu kejadian hanya dia seorang berada di kolam renang tersebut, tiada yang lain terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan TLDM yang menjadi lokasi helikopter HOM-AW139 terhempas di sini hari ini.
Kejadian tersebut mengorbankan 10 anggota TLDM yang sedang melakukan raptai latihan penerbangan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulangtahun TLDM Ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.
Sehubungan itu, Khaled memaklumkan, sambutan Hari TLDM berkenaan dibatalkan dan digantikan dengan majlis doa selamat pada Jumaat ini.
Beliau turut memberitahu, pihak kementerian dan TLDM akan membantu dalam hal pengurusan jenazah mangsa serta bantuan-bantuan lain yang layak diterima ahli keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE.